:: PENDAHULUAN ::

Menurut syarak menghadap ke arah qiblat diertikan tubuh badan seseorang menghadap ke arah Kaabah yang terletak di Makkatul Mukarramah. Arah qiblat merupakan arah hadap umat Islam bagi menyempurnakan ibadat tertentu seperti solat dan lain-lain ibadat.

Menghadap ke arah qiblat adalah menjadi syarat sah solat lima waktu sehari semalam dan solat sunat yang lain.

Dalil-dalil syarak berhubung dengan arah qiblat adalah seperti berikut:

a. Dalil-dalil Dari Al-Quran

 

i. Surah al-Baqarah ayat 149

Maksudnya:

Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan solat) hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (Kaabah). Sesungguhnya perintah berqiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Allah (Tuhanmu). Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.

Ternyata daripada maksud ayat di atas umat Islam di seluruh dunia yang ingin menunaikan ibadat solat sama ada fardu atau sunat hendaklah memastikan dirinya menghadap qiblat.

ii. Surah al-Baqarah ayat : 150

Maksudnya:

“Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mendirikan solat) maka hadapkan mukamu kearah Masjidil Haram (Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang yang menyalahi kamu) kecuali orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasannya)”.Maka janganlah kamu takut kepada cacat cela mereka dan takutlah kamu kepada Ku semata-mata dan supaya Aku sempurnakan nikmat Ku kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar).

Ayat di atas menceritakan sejarah perpindahan qiblat dari Baitulmaqdis ke Baitullahil Haram (Kaabah).

b. Dalil-dalil Dari Hadith Rasulullah s.a.w.

 

i. Dari Abu Hurairah r.a.

Maksudnya :

Dari Abu Hurairah r.a. berkata sabda Rasulullah s.a.w.“Di antara Masyrik dan Maqhrib terletak qiblat”

(Diriwayatkan oleh Tirmizi dan Ibni Majah)

Berhubung dengan maksud hadith di atas, Rasulullah s.a.w. telah memberi pendekatan dan penekanan arah letaknya qiblat itu di antara Masyrik (matahari terbit) dan Maqhrib (matahari terbenam). Bagi mereka yang berada di Masyrik atau di Maqhrib, qiblatnya tidak ke arah Utara atau ke Selatan. Sekurang-kurangnya mereka dari Masyrik (Timur), qiblat mereka adalah ke arah Barat dan mereka dari Maqhrib (Barat), qiblat mereka adalah ke arah Timur. Kaedah yang telah ditetapkan oleh Hadith di atas, adalah merupakan garis panduan umum. Namun demikian penentuan dengan lebih tepat boleh dilaksanakan melalui ilmu falak atau astronomi.

ii. Dari Anas b. Malik r.a.

Maksudnya :

“Bahawasanya Rasulullah s.a.w. (pada suatu hari) sedang mendirikan solat dengan menghadap ke Baitulmaqdis. Kemudian turunlah ayat Al Quran: “Sesungguhnya kami selalu melihat mukamu menengadah ke langit (selalu melihat ke langit berdoa)”. Maka turun wahyu memerintahkan baginda menghadap ke Baitullah (Kaabah). “Sesungguh kamu palingkan mukamu ke qiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram”. Kemudian ada orang dari Bani Salamah sedang mereka melakukan ruku' pada rakaat yang kedua solat fajar. Sesungguhnya mereka telah solat satu rakaat. Lalu diserukan. “Sesungguhnya qiblat telah berubah. Lalu mereka berpaling ke arah qiblat”.

(Diriwayatkan oleh Muslim)

Mengikut cerita Yahya b. Al-Akhnas peristiwa di atas berlaku ketika Rasulullah s.a.w. menziarahi Ummu Basyir dari Qabilah Bani Salamah. Baginda dihidangkan makanan, kemudian masuk waktu Zohor, Rasulullah ke masjid untuk menunaikan solat Zohor berjemaah.

Setelah selesai rakaat kedua baginda diperintahkan menghadap ke Kaabah, maka Rasulullah memalingkan dirinya dari qiblat Baitulmaqdis ke arah Kaabah dan menghadap bahagian al-Mizab (dinding Kaabah yang setentang dengan Baitulmaqdis). Ekoran daripada itu masjid tersebut dinamakan Masjid Qiblatain (Masjid Dua Qiblat) kerana Rasulullah s.a.w. mendirikan solat dua rakaat menghadap Baitul Maqdis dan dua rakaat lagi menghadap Baitullah (Kaabah). Masjid Qiblatain ini terletak di Madinatul Munawwarah.